Header Ads


Suami Bimbang, Isteri Terkandas di Mekah

(Gambar Hiasan)

SEREMBAN – Seorang suami bimbang dengan keselamatan dan kesihatan isterinya yang kini terkandas di Makkah sejak 18 Disember, selepas mengerjakan umrah pada 6 Disember lalu.

Hamdan Mohd Nasir, 52, berkata, sepatutnya rombongan jemaah umrah yang disertai isterinya, Norizan Mohd Isa, 48, kembali ke tanah air, Ahad lalu.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja tiba di lapangan terbang di Jeddah, Arab Saudi, nama isterinya dan 29 jemaah lain tidak ada dalam sistem penerbangan pulang seperti yang dijanjikan sebelum ini menyebabkan mereka terkandas sehingga semalam.

“Sebelum berangkat pergi, isteri menjelaskan semua pembayaran kepada seorang wanita yang merupakan pekerja di sebuah agensi dekat Kuala Lumpur yang menguruskan ibadah umrah ini.

“Saya dimaklumkan seramai 210 jemaah yang diuruskan oleh agensi ini untuk menunaikan umrah, malangnya 30 jemaah termasuk isteri saya terkandas ketika mahu berangkat pulang ke Malaysia.

“Isteri memaklumkan mereka tidak dapat pulang kerana tiket penerbangan tiada. Kini mereka terpaksa bermalam di Hotel Jawhharat Almunir, Makkah yang ditanggung pihak agensi,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Hamdan berkata, walaupun penginapan disediakan pihak agensi, namun dari segi perbelanjaan lain terpaksa diuruskan sendiri.

Menurutnya, pihaknya ada menerima panggilan daripada pengarah syarikat agensi berkenaan dan berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, mereka berjanji akan membawa isteri serta jemaah lain yang terkandas di Makkah itu pulang pada 23 Disember (hari ini), bagaimanapun sehingga semalam belum ada sebarang perkembangan.

“Sebelum ini pun mereka ada berjanji dan bagi tarikh untuk membawa pulang tetapi tiada sebarang perkembangan. Kini mereka berjanji lagi  akan membawa pulang pada hari ini, tapi masih dalam keadaan yang sama.

“Saya bimbang dengan keadaan isteri saya di sana, duit perbelanjaan juga semakin hari semakin berkurang.

“Jika dibiarkan lebih lama, saya tidak tahu apa jadi kepada nasib isteri saya di sana, lebih-lebih lagi isteri saya kini demam.

“Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu dan membawa pulang isteri dengan jemaah lain balik ke Malaysia dengan selamat,” katanya.


Sehubungan itu juga, Hamdan membuat laporan di Balai Polis Jalan Chambell, di sini semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat di sebalik kejadian berlaku.
Powered by Blogger.